DALAM Islam, bukan membaca al-Quran saja yang
menjadi ibadat dan amal yang mendapat pahala dan rahmat, malah mendengarnya pun
mendapat balasan. Malah, sebahagian ulama mengatakan bahawa, mendengar orang
membaca al-Quran, pahalanya sama dengan orang yang membacanya.
Pahala orang mendengar bacaan al-Quran dengan
jelas disebut dalam firman-Nya yang bermaksud : Dan apabila dibacakan al-Quran,
maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat
rahmat.
(Surah al-A'raaf, ayat 204)
Mendengar bacaan al-Quran dengan baik, dapat
menghibur perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati
yang keras serta mendatangkan petunjuk. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat
Allah, yang diberikan kepada orang yang mendengarkan bacaan al-Quran dengan
baik.
Demikian besar mukjizat al-Quran sebagai wahyu
Ilahi, yang tidak bosan-bosan orang membaca dan mendengarkannya. Malah, semakin
sering orang membaca dan mendengarnya, semakin terpikat hatinya kepada al-
Quran. Apabila al-Quran itu dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara baik
dan merdu, ia akan memberi pengaruh kepada jiwa orang yang mendengarnya,
sehingga seolah-olah yang mendengarnya sudah ada di alam ghaib, bertemu
langsung dengan Khaliknya.
Keadaan orang mukmin tatkala mendengar bacaan
al-Quran itu, digambarkan oleh firman Allah sebagai berikut:
Sesungguhnya, orang yang beriman itu, hanyalah
mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementar hati mereka, dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya dan
kepada Tuhanlah mereka bertawakal. (Surah al-Anfaal, ayat
2).
Diriwayatkan bahawa suatu malam, Nabi Muhammad
saw mendengar Abu Musa Al Asy'ari membaca al-Quran sampai jauh malam. Sepulang
ke rumah, Baginda ditanya oleh isterinya, Aisyah: Apa sebabnya pulang sampai
jauh malam? Rasulullah menjawab bahawa Baginda terpikat oleh kemerduan suara
Abu Musa Al Asy'ari membaca al-Quran, seperti merdunya suara Nabi Daud.
Dalam riwayat, banyak diceritakan, betapa
kuatnya kesan bacaan al-Quran terhadap hati orang kafir. Selepas mereka
mendengar bacaan al-Quran, tidak sedikit hati yang pada mulanya keras dan marah
kepada Muhammad serta pengikutnya, berbalik menjadi lembut dan mahu mengikuti
ajaran Islam.
Rasulullah sendiri sangat gemar mendengar bacaan
al-Quran daripada orang lain. Dalam sebuah hadis, yang diriwayatkan oleh
Bukhari, disebutkan bahawa Abdullah Ibnu Mas'ud menceritakan sebagai berikut :
Rasulullah berkata kepadaku: Hai Ibnu Mas'ud, bacakanlah al-Quran untukku!
Lalu aku menjawab: Apakah aku pula yang membacakan al-Quran untukmu, ya
Rasulullah, padahal al-Quran itu diturunkan Tuhan kepadamu? Rasulullah menjawab
: Aku senang mendengar bacaan al-Quran itu daripada orang lain.
Kemudian Ibnu Mas'ud membacakan beberapa ayat
dari surat an-Nisaa. Rasulullah sangat terharu tatkala bacaan Ibnu Mas'ud itu
sampai kepada ayat ke-41 yang berbunyi: Maka bagaimanakah (halnya orang kafir
nanti), apabila Kami mendatangkan seorang saksi (rasul dan nabi) dari tiap-tiap
umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu
(umatmu).
Rasulullah lalu berkata: Cukuplah, sekian saja,
ya Ibnu Mas'ud Ibnu Mas'ud melihat Rasulullah menitiskan air
matanya serta menundukkan kepalanya.
SELANJUTNYA..... baca entry ini yee....... heeeee :-)
No comments:
Post a Comment